Institut Latihan Perindustrian Melaka terletak di Lot 1729 Mukim Bukit Katil, 75450 Melaka iaitu lebih kurang 10 km dari bandar Melaka. Operasi pentadbiran telah bermula pada 15hb November 1988, manakala operasi latihan bermula pada 13hb Februari 1989 dengan pengambilan seramai 75 orang pelatih dalam 7 bidang ketukangan.

Institut Latihan Perindustrian Melaka ini di rasmikan oleh oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong ke IX, Sultan Azlan Shah pada 13hb Julai 1990.

 

Organisasi Pentadbiran

 

Pentadbiran Institut ini dketuai oleh seorang Jurutera sebagai Pengetua dan di bantu oleh 48 orang Pegawai-Pegawai Latihan Vokasional dan 13 orang Kakitangan Sokongan. Bersama, mereka berkongsi pengalaman, pengetahuan dan kemahiran untuk melatih dan mengeluarkan pelatih-pelatih yang berkemahiran, berdisplin dan berkualiti. Pembangunan ILPM untuk mencapai objektifnya tidak mungkin akan terlaksana tanpa kerjasama dan usahasama daripada semua kakitangannya.

Organisasi pentadbiran ILPM dibahagikan kepada dua bahagian yang utama iaitu Bahagian Latihan dan Bahagian Pentadbiran dan Kewangan. Bagi menjamin kebersanan dan mutu latihan Bahagian Latihan dibahagikan kepada tiga unit iaitu Unit Pengurusan Latihan dan Hal Ehwal Pelatih, Unit Kawalan Teknikal dan Unit Pembangunan Kemahiran.

 

Pembangunan Fizikal

 

Kampus ILPM terbahagi kepada 3 seksyen utama yang terdiri daripada pentadbiran, latihan dan kemudahan pelatih dan kakitangan.

Seksyen I meliputi satu blok pentadbiran yang mempunyai Pejabat Utama Pentadbiran, Bilik Mesyuarat dan Perpustakaan.

Seksyen II terdiri daripada satu blok Bilik Kuliah dan tiga blok woksyop untuk bidang-bidang Elektronik, Elektrikal dan Mekanikal.

Seksyen II meliputi 3 blok hostel untuk pelatih lelaki, 1 blok hostel untuk pelatih wanita, Dewan Makan dan 2 blok kuarters kakitangan sokongan. Selain daripada itu juga disediakan juga sebuah rumah untuk Pengetua di dalam kampus ini.

Bagi tujuan riadah dan bersukan, ILPM mempunyai 2 gelanggang tenis, 2 gelanggang bola tampar, 2 gelanggang sepak takraw, 1 gelanggang bola jaring, 1 padang hoki dan 1 padang bola sepak. Juga terdapat sebuah Dewan Serbaguna untuk kegiatan pelatih, dimana kemudahan gelanggang untuk badminton, ping pong dan permainan sukan dalaman [indoor games] disediakan.

Selaras dengan bilangan pelatih adalah terdiri daripada pelatih beragama Islam, sebuah Surau yang dapat memuatkan lebih kurang 300 orang jemaah disediakan untuk kegiatan keagamaan Institut.

Pembangunan fizikal dan aktiviti di ILPM banyak ditekankan bagi mewujudkan suasana yang aman bagi menjadikan ILPM sebagai ILPKU SYURGAKU dengan menanam semangat kekeluargaan diantara semua ahli keluarga ILPM, disamping mewujudkan sebuah Institusi di dalam taman dengan menanam pelbagai pokok dan bunga disekeliling kampus ILP Melaka.